Monday, November 29, 2010

Konsep Asas Skim Piramid

Assalaamualaikum.

Memandangkan tujuan utama blog ini adalah menghapuskan skim piramid secara habis-habisan, adalah perlu untuk saya memperkenalkan apa itu skim piramid sebenarnya. Skim piramid bukanlah sesuatu yang sukar untuk dikenali dan dicam, tetapi pelbagai istilah dan helah yang digukan untuk pengamal-pengamal skim piramid untuk mengelakkan perniagaan/skim/pelaburan mereka dicap sebagai skim piramid.

Skim piramid adalah apa jua perniagaan, atau pelaburan, atau skim yang mengamalkan dan mengutamakan aktiviti mencari orang untuk menyertai jaringan (network) perniagaan/pelaburan/skim mereka dengan setiap ahli baru akan dikenakan bayaran tertentu, sama ada berbentuk yuran pendaftaran, atau pembelian produk, atau bayaran ehsan. 

Ada skim piramid yang mencadangkan seorang ahlinya mencari sekadar dua orang, ada pula yang mencadangkan sehingga 4 atau 5, dan ada juga yang tidak meletakkan sebarang jumlah, lebih banyak orang yang dicari, lagi lumayan pendapatan mereka. 

Orang yang dicari akan disebut downline, dan orang yang mencari biasa disebut upline. Ini adalah common term yang digunakan, penggunaan term (istilah) yang berbeza tidak mengenepikan sistem tersebut daripada dicap sebagai sistem piramid.

Mari saya perkenalkan skim piramid yang paling asas. Tiada produk, cuma pengaliran wang yang digelarkan mereka sebagai wang ehsan, atau sedekah, atau amal jariah atas semangat saling membantu sesama Islam. Inilah menipu dengan menggunakan nama Islam. Ada banyak skim yang mengamalkan cara ini, malah siap ada syarikat berdaftar dengan SSM pun mengunakan kaedah ini. 

Katakan ada satu skim piramid yang begini, dengan modal serendah RM40, anda boleh menjana RM13,650. WOW! Macamanakah caranya? Senang sahaja.

Seorang ahli hanya perlu membayar RM40 dan dia hanya perlu mencari 5 orang yang lain yang sanggup melabur atau mengeluarkan modal RM40. Nak cari 5 orang yang ada RM40 tak susah bukan. Dan, 5 orang tadi perlu mencari 5 orang yang lain pula bagi setiap orang. Maka jadilah bentuk piramid dan bilangan pesertanya seperti ini:



Setiap peserta yang dicari pada level pertama, syarikat/penganjur akan bayar RM10, dan setiap peserta yang masuk pada level seterusnya akan dibayar RM9, RM7, RM4 dan RM3. Maka, apabila lengkap level yang kelima, jumlah wang yang diperolehi adalah RM13,650. 

Maka berlumba-lumbalah anak Melayu menyertai skim ini, RM40 sahaja. Pulangan sehingga 340 kali ganda! Biarlah sedekahkan RM40 untuk orang, nanti orang lain pula akan sedekahkan pada kita, itulah yang bermain dalam kepala mereka. Walaupun ada ustaz mengatakan skim sebegini adalah haram, mereka bagaikan lebih ariff daripada ustaz itu, “kalau kita redha dan sedekahkan dengan ikhlas, kenapa pula boleh jadi haram?”. Mereka cuba menyangkal. 

Mereka yg menyertai skim sebegini tidak sedar tentang satu perkara, lukisan piramid dalam rajah di atas hanyalah satu angan-angan. Ia mungkin dapat dicapai oleh seberapa bahagian daripada peseta, tetapi bagi sebahagian yang lain, mereka pasti gagal. Malah PASTI sekali bilangan orang yang akan rugi (tidak mendapat semula modal RM40 yang dilaburkan) adalah lebih ramai daripada orang yang mendapat keuntungan. 

Penjelasannya di sini. Untuk seorang peserta mendapat modal dan untung RM10 level pertama, mereka perlu mencari 5 orang downline (dapat RM50, tolak modal RM40 jadi untung RM10). Perlu diingat, pada ketika dia mendapat 5 downline, pada ketika itu ada kelima-lima orang downline tersebut masih kerugian, hanya dia seorang yg untung. Yang 5 orang tadi, untuk mengelakkan dirinya rugi, maka setiap orang mencari lagi lima orang downline masing-masing. Pada ketika itu, ada 6 orang yang untung (1 orang yang paling atas dan 5 orang level yang kedua), tetapi ada 25 orang yg masih rugi (lihat rajah di bawah)


Jadi, sehingga ke level 2, untuk mewujudkan 6 orang berjaya, perlu mengorbankan 25 orang yang rugi. Katakan rangkaian ini terus berkembang, sehingga ke level yang ke-10, bilangan peserta pada level ke-10 itu adalah 9,765,625. Dan bilangan peserta keseluruhan adalah 12,270,031. 


Seperti yg saya nyatakan dalam entry pertama saya, di Malaysia ini Cuma wujud sekitar 17juta orang yg berumur 18 hingga 60tahun. Itu belum ditolak mereka yang berada jauh di pedalaman, mereka yang buta huruf, mereka yang OKU, dan yang paling penting belum termasuk orang-orang yang bijak kerana tidak mudah dipengaruhi untuk menyertai skim-skim sebegini.

Sudah pasti ia akan crash pada level ini, itu pun jika boleh bertahan sehingga level tersebut. Pada level itu sudah tidak ada orang baru yg dapat dicari lagi. Jadi, pada peringkat ini terdapat sejumlah 9,765,625 (80%) orang yang kerugian, dan hanya 2,441,406 (20%) yang berjaya mendapat pulangan modal. Dengan kata lain, untuk membuatkan 20% orang berjaya, 80% lagi ahli perlu TERKORBAN! Sungguh kejam!

Tanyalah dalam hati anda, halalkah sistem yang sebegini? Adilkah sistem sebegini? Tergamakkah anda untuk mengatakan Allah yang Maha Adil membenarkan sistem yang berbentuk sebegini? Jawapannya hanya satu, TIDAK! Mana-mana sistem atau perniagaan yang menindas dan tidak adil sudah pasti Haram di dalam Islam.
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya).
(Al-Baqarah:188)

Menjawab alasan mereka yang mengamalkan sistem sebegini, “kalau kita redha dan sedekahkan dengan ikhlas, kenapa pula boleh jadi haram?”. Jawapan untuk orang begini tak susah. Katakan anda mengeluarkan RM10 dengan penuh redha dan ikhlas untuk membeli no ekor 4D, dengan harapan memenangi habuan yang lebih besar, kalau tak menang pun anda tetap redha duit itu diambil oleh syarikat judi dan pemenang pada hari berikutnya. Adakah ia boleh? 

Jika kita tidak ariff dalam sesuatu ilmu, jangan memungkiri orang yag lebih ariff tentangnya. Jangan mencipta alasan untuk menyedapkan hati, sekadar untuk mengatakan tak apa. Redha dan ikhlas dalam perkara yang mungkar tidak pernah mengubah kemungkaran itu menjadi kebaikan.

Sebelum berakhir, mari kita kaji semula tentang perjalanan duit orang melayu dalam skim piramid contoh yang saya berikan di atas. Daripada RM40 yang dikeluarkan seorang peserta, RM10, RM9, RM7, RM4 dan RM3 diagih-agihkan kepada orang di level yang lebih atas, jumlahnya RM34. Ke mana RM6 yang selebihnya pergi? 

Jawapannya sudah tentu ia pergi kepada pihak penganjur iaitu syarikat yang menjadi perantara dalam skim ‘amal jariah’ ini. Katakan skim ini berjaya sampai ke level yang ke 10 yang kita sebutkan tadi. Mari kita kira pendapatan pihak penganjur sekiranya terdapat 9,765,625 orang yang menyertai skim ini:
9,765,625 x RM6 = RM58,593,750!
Kemungkinan untuk sampai ke level ke10 adalah agak tipis, kita andaikan hanya 20% daripada jumlah itu berjaya dipujuk menjadi ahli. Maka, keuntungan pihak penganjur tadi adalah sekitar RM11 JUTA!!

Ok, itu sistem piramid yang tiada produk, bagaimana pula dengan perniagaan yang ada produk, tetapi produk itu sengaja diadakan untuk menutup kejelekan skim tersebut? Perkara ini akan saya huraikan dalam entry akan datang yang bertajuk, “Kenapa sesetegah syarikat lebih suka memasarkan produk mereka melalui plan pemasaran MLM?”

No comments:

Post a Comment