Wednesday, December 15, 2010

Kenapa sesetengah syarikat lebih suka memasarkan produk mereka melalui MLM?

Satu persoalan yang jarang-jarang orang kita fikir sebelum menyertai sesebuah MLM. Jawapan mudahnya ialah, syarikat ingin mengeksploitasi kelemahan masyarakat yang sangat teruja (tergila-gila) mahu menjadi kaya sehingga tak kisah mengeluarkan sejumlah wang untuk membeli produk yang mereka tidak perlukan, walaupun pada harga yang biasanya jauh lebih mahal dari harga pasaran. Ingat betul-betul bahagian “eksploitasi kelemahan masyarakat yang teruja menjadi kaya”.
 
Saya bagi contoh yang paling mudah. Saya biasa jual t-shirt. Kos untuk mengeluarkan satu t-shirt round neck yang berkualiti dengan printed design di bahagian hadapan adalah kurang daripada RM10, kita ambil RM10 lah. T-shirt ini biasa dijual pada harga RM25 jika mendapat lesen untuk dicopkan brand Forest atau Diadora, tetapi boleh menjadi RM50 dan ke atas jika mendapat lesen daripada Nike atau Adidas. OK, dengan plan pemasaran MLM, saya boleh menjual lebih dari 10,000 helai sebulan pada harga RM75 tanpa meminta lesen daripada mana-mana brand.
 
Bagaimana caranya? Saya buat satu plan MLM yg sangat simple. Siapa yang nak beli t-shirt ini wajib menjadi ahli. Yuran keahlian adalah RM500. Tinggi ke? Takpe, mesti ada yg sanggup kerana plan pemasarannya akan membuatkan orang gelap mata. Setiap ahli yang masuk, dicadangkan mendapatkan dua orang ahli baru. Setiap ahli baru, syarikat saya akan bagi RM250, bermakna, cari dua orang sudah balik modal. So, orang yg masuk sistem ni tak kisah pun utk keluarkan RM500 sebab cari dua orang sahaja akan dapat balik modal.
 
Kemudian saya tawarkan lagi, komisen 100% bagi orang yg ketiga dan seterusnya yang dapat dicari oleh pelanggan tersebut. Maksudnya, cari 3 orang dah dapat untung RM500, dan setiap orang yg dicari selepas itu adalah untung RM500. “WOW! Dapat cari sorang seminggu pun jadilah utk side income”. Itulah yg bermain di kepala prospek saya.



Tak cukup dengan itu, saya tawarkan lagi komisen dari level di bawahnya, setiap kaki pertama dan kedua orang di bawahnya, saya akan berikan 40% daripada yuran keahlian (40% daripada RM500 = RM200) kepada prospek tadi. Saya tak perlu risau sebab saya tidak mengeluarkan sesen pun duit syarikat, semuanya saya ambil daripada yuran keahlian RM500 yg setiap ahli baru bayar.


Jadi di mana untungnya syarikat saya? Saya tak kisah dengan duit yuran tu, semua tu utk saya agih2kan kepada ahli-ahli yg bertungkus lumus mencari ahli baru. Saya akan mewajibkan setiap ahli membeli t-shirt syarikat saya berharga RM75, sebagai komitmen bulanan sebagai syarat untuk mereka layak menerima komisen-komisen yang dijanjikan di atas. Dengan plan pemasaran yg sangat menarik (RM500 keuntungan untuk setiap ahli baru yg dicari + RM200 ahli baru yang dicari orang bawahan), saya yakin akan dapat mengumpul 5 ribu ahli dalam masa sebulan.
 
Sekarang saya nak kira keuntungan saya.
Untung Sehelai T-Shirt = RM75 - RM10 = RM65
Untung wajib dapat sebulan = RM65 x 5 ribu ahli = RM325,000 sebulan!
 
Wah, itu baru sebulan beb! Bayangkanlah, setiap bulan pasti ada mereka yg tamakkan RM500 untuk setiap orang yang dicari akan masuk sistem ini dan saya sangat yakin untuk mengekalkan bilangan 16 ribu orang ahli untuk setiap bulan. Jadi income bulanan saya ialah RM65 x 16 ribu ahli = RM1.04 juta sebulan! Senang je nak dapat RM1 juta sebulan, caranya ialah dengan mengeksploitasi kelemahan masyarakat yang tergila-gila mahu menjadi kaya! Dan itulah caranya mengeksploitasi MLM. Saya yakin, saya pasti tak akan dapat jual 16 ribu helai t-shirt itu pada keuntungan maksimum sekiranya melalui saluran konvensional (bukan MLM).
 
Sering saya tekankan, MLM yang jujur adalah MLM yang mengasingkan komisen antara jualan produk dan komisen untuk memperkenalkan ahli baru. Komisen jualan produk mestilah adil antara orang atas dan orang bawahan. Komisen pada level yang terlalu jauh ke bawah adalah tidak layak untuk dinikmati, apatah lagi pada level infiniti. Komisen jualan produk juga mestilah pada percentage yang lebih layak untuk diterima, contoh yang paling munasabah adalah komisen maksimum 30% daripada harga jualan. Apa hak kita untuk menerima sejumlah wang orang lain, sedangkan nilai barang yang kita jualkan pada mereka tidak sampai 20% daripada jumlah wang yang kita terima dari mereka? Tergamakkkah kita makan wang yg seperti itu? (Oh, orang MLM memang tergamak! Diorang peduli hape, kubur masing-masing).
 
Komisen memperkenalkan ahli baru pula mestilah sangat sedikit nilainya, jangan sehingga membuatkan ahli lebih gemar mencari ahli baru daripada menjual produk. Kerana di mana ada aktiviti mencari ahli baru melebihi aktiviti menjual produk, di situ tandanya eksploitasi kepada kelemahan masyarakat yg saya sebutkan di atas tadi sedang berlaku.

Pengeksploitasian terhadap sikap masyarakat yang begitu teruja mahu menjadi kaya dengan cara yang cepat inilah yang digunakan oleh kebanyakan syarikat MLM. Hyprobulk SMS menjual produk bulk SMSnya melalui dengan cara MLM seperti ini, kerana mereka tahu jika jual dengan cara biasa, berapa kerat sangat pelanggan yang mereka boleh dapat, dan berapa kerat sangat yg akan maintain komitmen bulanan RM75 sebulan. Uptrend (Unstoppable, I-Rich dan apa sahaja kumpulan yang berkaitan dengannya) juga memperalatkan kelemahan masyarakat yang sama, semuanya bergantung kepada keterujaan orang ramai mahu menjadi kaya. Jika disandarkan pada produk mereka, siapalah yang bodoh sangat nak beli. Sudahlah mahal berganda-ganda, kebaikannya tak pernah terbukti secara klinikal.
 
Sedarlah bahawa menyertai MLM yang sebegini bererti membiarkan diri kita dieksploitasi dan dalam masa yg sama kita juga berusaha mengeksploitasai orang lain. Percayalah bahawa sistem ini memerlukan ramai orang yang gagal lebih ramai daripada orang yang berjaya, kerana pasaran tidak akan selamanya lancar. Pasti akan tiba saatnya pasaran akan semakin tepu, dan pasti ramai yang tidak mendapat downline.
Berhati-hatilah dalam rezeki yang kita cari. 

Monday, November 29, 2010

Konsep Asas Skim Piramid

Assalaamualaikum.

Memandangkan tujuan utama blog ini adalah menghapuskan skim piramid secara habis-habisan, adalah perlu untuk saya memperkenalkan apa itu skim piramid sebenarnya. Skim piramid bukanlah sesuatu yang sukar untuk dikenali dan dicam, tetapi pelbagai istilah dan helah yang digukan untuk pengamal-pengamal skim piramid untuk mengelakkan perniagaan/skim/pelaburan mereka dicap sebagai skim piramid.

Skim piramid adalah apa jua perniagaan, atau pelaburan, atau skim yang mengamalkan dan mengutamakan aktiviti mencari orang untuk menyertai jaringan (network) perniagaan/pelaburan/skim mereka dengan setiap ahli baru akan dikenakan bayaran tertentu, sama ada berbentuk yuran pendaftaran, atau pembelian produk, atau bayaran ehsan. 

Ada skim piramid yang mencadangkan seorang ahlinya mencari sekadar dua orang, ada pula yang mencadangkan sehingga 4 atau 5, dan ada juga yang tidak meletakkan sebarang jumlah, lebih banyak orang yang dicari, lagi lumayan pendapatan mereka. 

Orang yang dicari akan disebut downline, dan orang yang mencari biasa disebut upline. Ini adalah common term yang digunakan, penggunaan term (istilah) yang berbeza tidak mengenepikan sistem tersebut daripada dicap sebagai sistem piramid.

Mari saya perkenalkan skim piramid yang paling asas. Tiada produk, cuma pengaliran wang yang digelarkan mereka sebagai wang ehsan, atau sedekah, atau amal jariah atas semangat saling membantu sesama Islam. Inilah menipu dengan menggunakan nama Islam. Ada banyak skim yang mengamalkan cara ini, malah siap ada syarikat berdaftar dengan SSM pun mengunakan kaedah ini. 

Katakan ada satu skim piramid yang begini, dengan modal serendah RM40, anda boleh menjana RM13,650. WOW! Macamanakah caranya? Senang sahaja.

Seorang ahli hanya perlu membayar RM40 dan dia hanya perlu mencari 5 orang yang lain yang sanggup melabur atau mengeluarkan modal RM40. Nak cari 5 orang yang ada RM40 tak susah bukan. Dan, 5 orang tadi perlu mencari 5 orang yang lain pula bagi setiap orang. Maka jadilah bentuk piramid dan bilangan pesertanya seperti ini:



Setiap peserta yang dicari pada level pertama, syarikat/penganjur akan bayar RM10, dan setiap peserta yang masuk pada level seterusnya akan dibayar RM9, RM7, RM4 dan RM3. Maka, apabila lengkap level yang kelima, jumlah wang yang diperolehi adalah RM13,650. 

Maka berlumba-lumbalah anak Melayu menyertai skim ini, RM40 sahaja. Pulangan sehingga 340 kali ganda! Biarlah sedekahkan RM40 untuk orang, nanti orang lain pula akan sedekahkan pada kita, itulah yang bermain dalam kepala mereka. Walaupun ada ustaz mengatakan skim sebegini adalah haram, mereka bagaikan lebih ariff daripada ustaz itu, “kalau kita redha dan sedekahkan dengan ikhlas, kenapa pula boleh jadi haram?”. Mereka cuba menyangkal. 

Mereka yg menyertai skim sebegini tidak sedar tentang satu perkara, lukisan piramid dalam rajah di atas hanyalah satu angan-angan. Ia mungkin dapat dicapai oleh seberapa bahagian daripada peseta, tetapi bagi sebahagian yang lain, mereka pasti gagal. Malah PASTI sekali bilangan orang yang akan rugi (tidak mendapat semula modal RM40 yang dilaburkan) adalah lebih ramai daripada orang yang mendapat keuntungan. 

Penjelasannya di sini. Untuk seorang peserta mendapat modal dan untung RM10 level pertama, mereka perlu mencari 5 orang downline (dapat RM50, tolak modal RM40 jadi untung RM10). Perlu diingat, pada ketika dia mendapat 5 downline, pada ketika itu ada kelima-lima orang downline tersebut masih kerugian, hanya dia seorang yg untung. Yang 5 orang tadi, untuk mengelakkan dirinya rugi, maka setiap orang mencari lagi lima orang downline masing-masing. Pada ketika itu, ada 6 orang yang untung (1 orang yang paling atas dan 5 orang level yang kedua), tetapi ada 25 orang yg masih rugi (lihat rajah di bawah)


Jadi, sehingga ke level 2, untuk mewujudkan 6 orang berjaya, perlu mengorbankan 25 orang yang rugi. Katakan rangkaian ini terus berkembang, sehingga ke level yang ke-10, bilangan peserta pada level ke-10 itu adalah 9,765,625. Dan bilangan peserta keseluruhan adalah 12,270,031. 


Seperti yg saya nyatakan dalam entry pertama saya, di Malaysia ini Cuma wujud sekitar 17juta orang yg berumur 18 hingga 60tahun. Itu belum ditolak mereka yang berada jauh di pedalaman, mereka yang buta huruf, mereka yang OKU, dan yang paling penting belum termasuk orang-orang yang bijak kerana tidak mudah dipengaruhi untuk menyertai skim-skim sebegini.

Sudah pasti ia akan crash pada level ini, itu pun jika boleh bertahan sehingga level tersebut. Pada level itu sudah tidak ada orang baru yg dapat dicari lagi. Jadi, pada peringkat ini terdapat sejumlah 9,765,625 (80%) orang yang kerugian, dan hanya 2,441,406 (20%) yang berjaya mendapat pulangan modal. Dengan kata lain, untuk membuatkan 20% orang berjaya, 80% lagi ahli perlu TERKORBAN! Sungguh kejam!

Tanyalah dalam hati anda, halalkah sistem yang sebegini? Adilkah sistem sebegini? Tergamakkah anda untuk mengatakan Allah yang Maha Adil membenarkan sistem yang berbentuk sebegini? Jawapannya hanya satu, TIDAK! Mana-mana sistem atau perniagaan yang menindas dan tidak adil sudah pasti Haram di dalam Islam.
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya).
(Al-Baqarah:188)

Menjawab alasan mereka yang mengamalkan sistem sebegini, “kalau kita redha dan sedekahkan dengan ikhlas, kenapa pula boleh jadi haram?”. Jawapan untuk orang begini tak susah. Katakan anda mengeluarkan RM10 dengan penuh redha dan ikhlas untuk membeli no ekor 4D, dengan harapan memenangi habuan yang lebih besar, kalau tak menang pun anda tetap redha duit itu diambil oleh syarikat judi dan pemenang pada hari berikutnya. Adakah ia boleh? 

Jika kita tidak ariff dalam sesuatu ilmu, jangan memungkiri orang yag lebih ariff tentangnya. Jangan mencipta alasan untuk menyedapkan hati, sekadar untuk mengatakan tak apa. Redha dan ikhlas dalam perkara yang mungkar tidak pernah mengubah kemungkaran itu menjadi kebaikan.

Sebelum berakhir, mari kita kaji semula tentang perjalanan duit orang melayu dalam skim piramid contoh yang saya berikan di atas. Daripada RM40 yang dikeluarkan seorang peserta, RM10, RM9, RM7, RM4 dan RM3 diagih-agihkan kepada orang di level yang lebih atas, jumlahnya RM34. Ke mana RM6 yang selebihnya pergi? 

Jawapannya sudah tentu ia pergi kepada pihak penganjur iaitu syarikat yang menjadi perantara dalam skim ‘amal jariah’ ini. Katakan skim ini berjaya sampai ke level yang ke 10 yang kita sebutkan tadi. Mari kita kira pendapatan pihak penganjur sekiranya terdapat 9,765,625 orang yang menyertai skim ini:
9,765,625 x RM6 = RM58,593,750!
Kemungkinan untuk sampai ke level ke10 adalah agak tipis, kita andaikan hanya 20% daripada jumlah itu berjaya dipujuk menjadi ahli. Maka, keuntungan pihak penganjur tadi adalah sekitar RM11 JUTA!!

Ok, itu sistem piramid yang tiada produk, bagaimana pula dengan perniagaan yang ada produk, tetapi produk itu sengaja diadakan untuk menutup kejelekan skim tersebut? Perkara ini akan saya huraikan dalam entry akan datang yang bertajuk, “Kenapa sesetegah syarikat lebih suka memasarkan produk mereka melalui plan pemasaran MLM?”

Wednesday, November 24, 2010

1st entry

Assalaamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, segala puji hanya layak bagi Allah Tuhan sekelian alam dan selawat serta salam buat Rasul Junjungan, Muhammad SAW.

Selamat datang ke blog zafranyusrin.blogspot.com. Blog ini akan memuatkan perbincangan dan artikel-artikel berkenaan panduan kewangan, secara khususnya bertujuan untuk menyedarkan masyarakat Islam Malaysia berkenaan dengan bahayanya skim piramid, termasuk yang bertopengkan MLM. Blog ini diwujudkan sebagai menyokong usaha aktivis-aktivis yang sedia ada (yg paling popular tentunya Aidid Mu'addib). Blog ini bukan competitor kepada blog-blog sedia ada, sebaliknya merupakan satu sumbangan bersama. Konsepnya adalah: lagi ramai orang yang menyeru, lagi bertambah kesedaran masyarakat hendaknya, sehingga kita boleh menguburkan skim cepat kaya di dalam masyarakat kita.

Sememangnya sekarang ini terdapat pelbagai jenis skim cepat kaya yang dihadapkan kepada orang kita, iaitu orang Melayu. Ada yang secara terang-terangan, dan ada yang bersembunyi di sebalik perniagaan, terutamanya MLM. Semuanya tidak dapat lari dari satu method yang sama: Skim Piramid. Percayalah bahawa tiada jalan pintas atau jalan mudah untuk menjadi kaya, jika ada hampir pasti melalui jalan yang bhatil. Contoh jelas, mencuri dan merompak adalah jalan pintas menjadi kaya, tetapi ia adalah jalan yang haram.

Percayalah bahawa sistem multiply savings dalam masa yang singkat adalah tidak wujud, yang wujud adalah satu sistem piramid yang sangat kejam. Saya akan membuktikan bahawa ia sangat kejam pada entry-entry akan datang.

Apabila datang kepadamu satu golongan yang menunjuk-nunjuk kekayaan mereka dan mengajak kamu menjadi kaya seperti mereka, berfikirlah dengan tenang dan lapang, jangan sehingga keterujaan melihat orang menjadi kaya menutup pertimbangan akal yang diberikan Tuhan. Mengapa perlu menjadi kaya dengan cara mengajak orang menjadi kaya, tak ke pelik tu? Jika begitu, apa nasib golongan orang yang terakhir dalam sistem itu?. Siapa lagi yang perlu mereka ajak?

Jangan butakan hati dengan alasan pasti tiada orang yang terakhir, kerana konsepnya jumlah manusia itu bukan infiniti. Malah di Malaysia ini cuma wujud kurang daripada 17juta manusia yang berumur 18 hingga 60tahun. Itu belum ditolak mereka yang berada jauh di pedalaman, mereka yang buta huruf, mereka yang OKU, dan yang paling penting belum termasuk orang-orang yang bijak kerana tidak mudah dipengaruhi untuk menyertai skim-skim sebegini. Dan percayalah bahawa bilangan orang yang rugi (tidak mendapat downline) dalam skim MLM/Piramid ini adalah lebih ramai daripada orang yang berjaya mendapat downline.

Sekian dulu untuk permulaan. Saya menekankan konsep asas bilangan orang yang rugi lebih ramai daripada orang yang berjaya di dalam sesuatu skim piramid kerana itulah punca segala kebathilan di dalam perniagaan ini. Ia belum dicampurkan lagi dengan faktor-faktor lain seperti pengambilan untung yang melampau, penipuan dalam urusan jualan dan janji-janji kosong untuk mendapatkan downline.

Selamat membaca saya ucapkan, semoga bertemu lagi.

Wassalaam.